Kepercayaan karut masyarakat Melayu: Jenis Hantu (bahagian 4)

May 30, 2011 in Cerita Melayu by dianazain

Berikut adalah sambungan daripada siri kepercayaan karut masyarakat Melayu dan juga adalah bahagian terakhir yang akan membincangkan tiga jenis hantu lagi iaitu orang minyak, hantu galah dan hantu kopek.

Orang Minyak

Orang minyak merupakan individu yang mempelajari ilmu batin demi menceroboh masuk ke rumah mangsa untuk tujuan tertentu. Dalam kepercayaan masyarakat Melayu dahulu kala, terdapat salah satu cerita bahawa seseorang individu telah tersalah mempelajari ilmu tersebut menyebabkan dia menjadi hitam. Bagi menyelesaikan masalah terbabit, di perlu memperkosa 40 orang wanita demi pulih semula. Mangsa yang diperkosa akan terpukau dan orang minyak itu akan meninggalkan kesan pangkah pada muka mangsa. Orang minyak mempunyai kuasa tertentu bagi memudahkan  mereka menceroboh rumah berkunci dengan mudah. Di samping itu, mereka juga mampu menghilangkan diri dalam sekelip mata sekiranya dikejar dan boleh melekat pada dinding sama seperti cicak. Apabila cerita mengenai orang minyak memperkosa gadis demi memulihkan diri sendiri tersebar, masyarakat Melayu terus menyebarkan bahawa kelopak jantung pisang dan daun keladi bira boleh menghalau orang minyak. Ia perlu ditaburkan di sekeliling tempat tidur. Orang minyak hanya boleh ditangkap dengan mengepung kemudian melilitkannya dengan kain batik. Selepas itu, untuk menghapuskan orang minyak, ibu jarinya yang telah dibalut dengan kain batik harus digigit.

Hantu Galah

Hantu galah dalam masyarakat Melayu adalah mahkluk halus yang berasal dari golongan jin/syaitan. Walaupun mempunyai struktur manusia, hantu galah adalah jauh lebih besar dan tinggi dan kepalanya boleh mencapai ketinggian awan. Oleh sebab itu, manusia biasanya hanya nampak kaki hantu galah selain ia didapati di dalam kawasan hutan sahaja. Ramai yang salah anggap bahawa kaki hantu galah adalah batang pokok sahaja. Kakinya mempunyai bulu yang panjang. Manusia hanya boleh menjumpai hantu galah pada waktu malam ketika bersandar pada pokok di kawasan hutan. Dengan mencabut bulu betis hantu galah, manusia boleh mendapatkan pertolongan mereka hanya dengan membakar bulu betis yang dicabut itu.

Hantu kopek

Sama seperti hantu galah, hantu kopek berasal dari golongan jin/syaitan. Mahkluk ini suka mengganggu manusia. Terdapat kepercayaan tertentu yang mengatakan hantu kopek mempunyai struktur menyerupai wanita tua yang suka menculik ataupun menyembunyikan kanak-kanak kecil yang bermain di luar rumah pada waktu maghrib dan malam. Kanak-kanak kecil yang disembunyikan oleh hantu kopek lazimnya boleh melihat individu yang sedang mencari mereka tetapi tidak mampu berkomunikasi dengan pencari. Hantu kopek biasanya menyorok kanak-kanak kecil di bawah buah dada mereka. Mereka tidak dipelihara dan hidup liar.

 

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.