Pantang larang masyarakat Melayu tradisional (Bahagian 2)

May 12, 2011 in Berita by dianazain

Pantang larang wanita hamil dan lelaki sudah dibincangkan dalam bahagian pertama. Kali ini, kita akan menyenaraikan pantang larang lain dalam masyarakat Melayu tradisional. Lazimnya, terdapat pelbagai pantang larang bagi masyarakat dahulu kala. Berikut adalah pantang larang bayi, kanak-kanak serta pantang larang ketika berdiri, makan, dan tidur.

Bayi tidak boleh dipuji jika badan gemuk kerana dikhuatiri ‘kecil hati’ dan akan menjadi kurus. Jangan memicit mulut bayi kerana mereka akan hilang selera makan. Elakkan daripada meletak bayi di atas lutut kerana mereka akan mendapat sakit perut. Ibu bapa tidak boleh menghabiskan sisa makanan bayi kerana apabila mereka membesar kelak akan melawan cakap. Kain lampin yang kotor tidak boleh direndam kerana perut bayi akan kembung. Jangan kejutkan bayi yang sedang tidur terutama ketika senyum, menangis dan ketawa kerana bayi dikatakan sedang bermain dengan urinya. Jangan sesekali menghembus mulutnya kerana bayi akan menjadi bisu dan tidak boleh mencium di ubun-ubun kepala dan pusatnya ketika mereka tidur kerana dikhuatiri pendek umur.

Bagi kanak-kanak pula, jangan keluar bermain pada waktu senja kerana dikhuatiri akan disorok hantu. Punggung akan terkena bisul sekiranya duduk di atas bantal. Kanak-kanak akan pendek umur sekiranya memotong kuku pada waktu malam. Ular akan masuk sekiranya bersiul dalam rumah. Orang-orang tua lazimnya akan menasihati kanak-kanak supaya tidak jelir lidah kerana akan terpotong. Sekiranya mengangkat kaki ketika berbaring, ibu akan meninggal dunia. Jangan makan dalam keadaan gelap kerana bagaikan makan bersama dengan iblis. Mata akan ketumbit sekiranya bercakap ketika berada dalam tandas. Sesiapa yang makan kepala ikan akan menjadi bodoh. Gigi akan berulat sekiranya mengigit kain.

Sementara itu, berikut merupakan pantang larang umum kepada semua tanpa mengira umur ataupun jantina. Bagi kaum wanita, jangan kencing berdiri kerana punggung akan dijamah hantu. Jangan berdiri dalam keadaan bertindih kaki kerana ia menjauhkan rezeki. Jangan tidur di muka pintu kerana alamat akan dilangkah hantu. Selain itu, juga dilarang tidur di atas pokok kerana akan dimakan langsuir manakala tidur selepas makan akan ditindih hantu dan tidur akan mimpi hantu sekiranya nasi terlekat pada kaki. Menjamu selera ketika waktu Maghrib dikhuatiri akan makan bersama hantu. Bagi yang sering makan tidak basuh pinggan akan lambat mendapat menantu. Perut akan buncit sekiranya tidur selepas makan. Jangan meletakkan pingan di atas riba kerana suami akan dirampas orang. Makan sambil berjalan akan mendatangkan penyakit perut. Sesiapa yang makan telur tembelang akan mendapat penyakit barah. Jangan menjamu selera menggunakan pinggan sumbing kerana akan mendapat anak bibir sumbing. Makan sambil mencangkung akan susah mendapat rezeki.

 

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.