Permainan tradisional (Bahagian 2)

May 17, 2011 in Rujukan Portal by dianazain

Setelah mengenali batu seremban dan gasing, dalam bahagian 2 ini akan mendedahkan beberapa lagi permainan tradisional seperti sepak raga, wau, dan congkak.

Sepak Raga

Permainan sepak raga yang dahulunya hanya dimainkan oleh golongan bangsawan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka kemudiannya dikenali sebagai sepak takraw setelah ia diwarisi oleh rakyat jelata. Sepak raga kini semakin mendapat sambutan di kalangan bangsa-bangsa lain. Ramai yang meminati permainan itu kerana mudah menndapatkan bola sepak raga yang hanya diperbuat daripada bilah rotan. Salah seorang pemain perlu melambung bola dengan tangann kepada rakan sekumpulan untuk memulakan permainan ini. Tetapi rakan terbabit tidak boleh menyambutnya dengan tangan tetapi hanya boleh menimang mahupun menendang ke arah pemain lain. Bola itu perlu ditimang bergilir-gilir dengan satu syarat – ia tidak boleh jatuh ke bumi.

Layang-layang

Sementara itu, permainan wau yang juga dikenali sebagai layang-layang lazimnya dimainkan oleh penduduk kampung. Diwarisi sejak kurun ke-15, wau mendapat sambutan ramai di beberapa negeri terutamanya Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu. Terdapat pelbagai bentuk seperti burung, sewah, kucing, katak dan pari yang boleh menarik minat kanak-kanak. Selain pertandingan wau, terdapat juga pertandingan reka corak istimewa wau bagi memupuk minat generasi muda terhadap permainan tradisional ini. Lazimnya, permainan ini akan dimainkan oleh dua orang kerana salah seorang pemain perlu memegang wau manakala seorang lagi bertanggungjawab memegang, mengawal dan menarik tali supaya wau berada tinggi di udara.

Congkak

Sementara itu, permainan congkak pula lebih digemari oleh kaum wanita kerana permainan ini hanya memerlukan papan dan buah congkak tanpa perlu berlari atau melakukan aktiviti fizikal. Buah congkak kadang-kala diganti dengan guli, biji saga, batu, dan buah getah. Walau bagaimanapun, setiap papan hanya boleh dimainkan oleh dua orang sahaja. Terdapat 14 lubang kecil yang dikenali sebagai kampung manakala dua lubang besar di sisi pula dikenali sebagai rumah. Permainan ini akan berakhir apabila salah seorang pemain kehabisan buah dalam kampung.

 

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.