Perubatan tradisional Melayu
May 23, 2011 in Rujukan Portal by dianazain
Perubatan tradisional Melayu mempunyai persamaan dengan perubatan tradisional Cina. Ia terbahagi kepada dua aspek iaitu amalan suruhan dan amalan tegahan. Amalan suruhan berkaitan dengan jenis, kuantiti dan khasiat pemakanan yang terdapat dalam tumbuhan (seperti herba). Pesakit perlu mematuhi segala arahan dalam amalan suruhan kerana ia membantu mencapai keseimbangan dan mengelakkan daripada serangan penyakit di samping melambatkan proses penuaan. Sementara itu, amalan tegahan berperanan seperti pantang larang kerana pesakit tidak dibenarkan menjamu makanan tertentu bagi memelihara kesihatan supaya sentiasa baik dan juga mempercepatkan proses penyembuhan penyakit. Perubatan Melayu yang diamalkan oleh bomoh ataupun Tok Dusun mengaitkan punca penyakit kepada darah yang bersangkut dengan angin. Mengikut petua bomoh, darah kita perlu berada dalam keadaan ‘panas’ tetapi ia tidak boleh berlebihan. Darah yang terlampau ‘panas’ atau terlalu ‘sejuk’ akan mendatangkan penyakit.
Angin pula disalurkan melalui urat ke dalam badan manusia. Justeru, angin berlebihan yang tidak dapat disalurkan akan menyekat perjalanan dalam urat maka menjejaskan kesihatan. Pendek kata, darah dan angin memainkan peranan yang penting dalam perubatan tradisional Melayu. Individu yang sihat perlu mencapai keseimbangan dalam darah dan angin. Untuk mengurangkan angin atau melancarkan saluran ‘angin’ dalam badan, teknik dan kaedah pengurutan dikatakan amat berkesan untuk menolak angin dan juga merangsang perjalanan darah dan urat. Teknik itu biasanya dilakukan di bahagian tangan, kaki dan belakang tubuh. Minyak urut perlu disapu pada bahagian tertentu. Selain itu, minyak angin yang diperbuat daripada minyak kelapa juga mempunyai ‘khasiat’ tinggi bagi membantu melancarkan darah dan angin dalam badan. Kaedah pengurutan sering digunakan untuk membantu wanita yang baru sahaja lepas bersalin. Ramuan tumbuhan juga boleh disapu dan dimakan bagi membantu mengeluarkan angin dari urat.
Sama seperti perubatan Cina, perubatan tradisional Melayu menggalakkan penggunaan tumbuh-tumbuhan berka para bomoh dan tok dusun berpendapat akar tumbuhan terutamanya tumbuhan yang berubi mendatangkan pelbagai kebaikan. Pengamal perubatan tradisional Melayu menyenaraikan tiga jenis zat dalam tumbuhan iaitu besi (menguatkan darah), kawi (menstabilkan perjalanan fungsi tubuh) dan kapur (sejukkan badan).