Susuk

May 23, 2011 in Rujukan Portal by dianazain

Susuk merupakan salah satu kebudayaan Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun. Ia adalah teknik memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi manfaat tertentu. Jenis bahan asing yang dimasukkan dalam badan berbeza tetapi lazimnya bergantung pada keinginan pengguna. Pada zaman kini, susuk masih lagi diteruskan kerana terdapat golongan yang mengharapkan muka sentiasa dipandang manis, tidak berusia dan tidak berkedut. Justeru, susuk sering dikaitkan dengan wanita ynag menginginkan kecantikan. Walaupun susuk dikatakan sangat berkesan kerana dapat menjaga wajah, pengguna yang sudah diselitkan bahan asing dalam badan perlu mematuhi beberapa pantang larang seperti tidak boleh makan pisang tanduk dan pisang abu. Terdapat juga pantang larang yang kurang logik seperti tidak boleh melintas di bawah tali kain. Namun, pantang larang itu juga bergantung kepada jenis susuk yang dipakai. Perubatan moden kini boleh mengesan penggunaan susuk melalui sinar-X. Susuk mendapat sambutan memberangsangkan daripada kaum wanita seperti Daisy Fajarina (ibu kepada Manohara Odelia Manz) kerana beliau dilaporkan menggunakan susuk berlian dan emas pada bahagian dagu.

Pengguna susuk percaya dengan memasukkan bahan asing tertentu ke dalam badan, ia dapat membantu mereka menjadi lebih jelita, berani dan juga dikasihi oleh orang ramai. Seperti yang dibincangkan di atas, pengguna perlu mematuhi pantang larang tertentu kerana jika mereka gagal mengikuti panduan itu, susuk itu akan terkeluar maka tidak akan nampak kesannya. Susuk yang terkeluar perlu dibuang oleh dukun yang memakaikannya. Sekiranya gagal mengeluarkan susuk yang dipakai, maka pengguana dikatakan mengalami masalah untuk mati. Terdapat juga petua yang mengatakan bahawa sesetengah susuk yang terkeluar berkemungkinan menjadi racun. Walaupun amalan ini diwarisi sejak dahulu lagi, namun susuk sebenarnya adalah haram di kalangan masyarakat beragama Islam kerana ia adalah sejenis ilmu hitam yang akan mendatangkan kesan buruk kepada dukun. Terdapat tiga jenis kelas susuk iaitu logam, galian dan organik. Bagi susuk logam, ia terbahagi kepada emas, perak, besi dan raksa. Sementara itu, galian menggunakan susuk berlian manakala organik merujuk kepada susuk susu.

 

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.