Tradisi melenggang perut kian dilupakan

May 10, 2011 in Berita by dianazain

Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan bahawa upacara melenggang perut semakin dilupakan oleh masyarakat Melayu moden. Mungkin terdapat segolongan masyarakat yang tidak mengetahui upacara dan tradisi itu langsung. Lazimnya, tradisi melenggang perut bertujuan memohon kelahiran dan melanjutkan keturunan seterusnya. Adat itu dilakukan dengan memotong sedikit rambut wanita yang sedang hamil. Kemudiannya, tujuh helai kain panjang yang terdiri daripada pelbagai warna dilabuhkan bagi wanita tersebut berbaring di atasnya. Adat ini memerlukan dua orang bidan yang bertanggungjawab menarik kain itu sehelai demi sehelai. Ia diakhiri dengan kenduri di mana ustaz akan membacakan doa selamat di atas labu air. Wanita hamil itu dikehendaki mandi dengan air labu terbabit.

Namun, adat melenggang perut kian dilupakan kerana masyarakat Melayu moden masa kini lebih suka mengadakan ‘Baby Shower’ yang berasal dari budaya Barat. ‘Baby Shower’ atau ‘mandi bayi’ bertujuan meraikan wanita hamil buat kali pertama ketika mencecah bulan ketujuh. Rakan-rakan dan ahli keluarga akan turut hadir untuk meraikan berita gembira itu di samping membawa buah tangan sebagai rahmat. Adat budaya Barat itu kian terjadi-jadi di kalangan masyarakat Melayu moden. Artis-artis tempatan yang terkenal seperti Erra Fazira dan Sazzy Falak turut menganjurkan majlis berkenaan dengan mengundang rakan artis lain. Gambar-gambar yang ditangkap semasa majlis itu kemudiannya disiarkan di pelbagai blog tempatan. Ketika Sazzy Falak menganjurkan majlis ‘Baby Shower’, artis tempatan lain yang terkenal seperti Sheahnee Iman Lee, Aishah Sinclair dan Daphne Iking turut kelihatan dalam gambar-gambar terbabit.

Trend penganjuran majlis ‘Baby Shower’ menunjukkan bahawa upacara melenggang perut kian dilupakan. Memandangkan artis-artis tempatan mengamalkan budaya Barat, sedikit sebanyak turut mempengaruhi pandangan peminat-peminat setia. Segelintir masyarakat berkemungkinan menganjurkan majlis ‘Baby Shower’ mengikut jejak Sazzy Falak dan Erra Fazira. Laporan akhbar yang melaporkan isu berkenaan menjelaskan bahawa majlis Barat itu disukai ramai kerana ia boleh diubah mengikut budaya tersendiri. Akhir kata, apakah pendapat anda tentang adat melenggang perut dan majlis ‘Baby Shower’? Wajarkah tradisi itu dilupakan bagi memberi laluan kepada budaya Barat?

 

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.