Sejarah Melayu
June 8, 2011 in Rujukan by admin
Bukti-bukti tamadun manusia terawal di Tanah Melayu dijumpai di kawasan Kota Tampan, Lenggong di Perak. Penemuan terbabit termasuk rangka manusia yang berumur lebih kurang 11,000 tahun yang dinamakan ‘Orang Tampan’ ataupun ‘Perak Man’. Selain daripada rangka manusia, beberapa kawasan khas untuk pembuatan peralatan batu juga dijumpai di sekitar Lenggong.
Oleh sebab demikian, dapat disimpulkan bahawa tamadun manusia di Tanah Melayu bermula kira-kira 200,000 tahun dahulu. Bukti-bukti tamadun manusia bukan sahaja dijumpai di Lenggong Perak malah juga terdapat di Gua Niah Sarawak.
Gua tersebut menunjukkan bahawa manusia memulakan kehidupan di Sarawak kira-kira 40,000 tahun dahulu dengan menjadikan Gua Niah sebagai tempat perlindungan. Selain itu, kewujudan manusia pra-sejarah juga dapat dibuktikan dengan penemuan lukisan di dinding Gua Tambun. Natijahnya, manusia menjadikan gua sebagai tempat tinggal dan perlindungan apabila berhijrah dari tempat lain ke Tanah Melayu.
Sejarah awal tamadun manusia di Tanah Melayu diikuti dengan perkembangan sejarah Melayu. Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita harus mengetahui asal-usul sejarah Melayu. Lazimnya, sejarah Melayu sering dikaitkan dengan Kesultanan Melayu Melaka.
Kesultanan Melayu Melaka dimulakan oleh Parameswara sekitar 1400. Kerajaan tersebut menjadi kerajaan Islam apabila Parameswara memeluk agama Islam setelah berkahwin dengan puteri dari Pasai. Sebenarnya, Parameswara merupakan Raja Singapura terakhir sekitar tahun itu.
Pada tahun 1324, seorang putera Srivijaya mengasaskan kerajaan Singapura lama setelah berjaya menawan Temasek. Putera tersebut kemudiannya diiktiraf sebagai Raja Singapura melalui utusan dari Maharaja China. Pemerintahannya diwarisi oleh tiga lagi putera keturunnannya termasuk Paduka Sri Maharaja Parameswara.
Parameswara yang merupakan Raja Singapura terakhir pada tahun 1401 diserang kerajaan Majapahit. Justeru, Parameswara terpaksa melarikan diri ke Semenanjung Melayu untuk mengasaskan kerajaan dan negeri yang baru.
Suma Oriental pula menggariskan asal-usul Parameswara yang berbeza dengan mengisahkan pelarian baginda ke Singapura dan kemudiannya membunuh wakil Raja Siam. Akibatnya, Parameswara terpaksa melarikan diri ke Semenanjung Melayu untuk mencari tempat perlindungan daripada diserang Raja Siam.
Sebelum menetap di Melaka, Parameswara pernah mendirikan tempat perlindungannya di beberapa kawasan seperti Muar dan Kota Burok. Namun, tempat perlindungan baginda di Muar diganggu oleh biawak manakala kubu pertahanan yang didirikan di Kota Burok runtuh. Maka, Parameswara bersama pengikutnya mendirikan tempat perlindungan di Sening Ujong.
Tidak lama kemudian, penduduk di Sungai Bertam meminta Parameswara menjadi raja di kawasan tersebut. Baginda menamakan kawasan itu Melaka berasaskan nama pokok yang diteduhnya. Dua tahun selepas Parameswara mendirikan kubu pertahanan di Melaka, baginda menerima perutusan dari Maharaja Yung Lo, China melalui Laksamana Yin Ching.
Maharaja China bukan sahaja menghantar perutusan malah juga hadiah-hadiah besar yang melambangkan tanda persahabatan dengan Parameswara. Baginda membalas hadiah-hadiah tersebut kepada Maharaja Yung Lo.
Baginda mula memeluk agama Islam pada tahun 1409 setelah berkahwin dengan puteri Pasai. Parameswara kemudiannya menggelar diri sebagai Raja Iskandar Syah. Pada tahun yang sama, Melaka sekali lagi menerima ketibaan wakil dari negara China yang diketuai Laksamana Cheng Ho. Demi membalas perutusan dari Maharaja China, Parameswara bersama lebih 500 pengikut berlayar ke negara tersebut untuk bertemu dengan Maharaja Yung Lo.
Melaka mula berkembang dengan pesat di bawah pemerintahan Parameswara. Ia menjadi salah satu pelabuhan yang paling pesat dan penting di Kepulauan Melayu sekitar abad ke-15 dan ke-16. Kedudukannya yang strategik serta kelebihan Melaka sebagai pusat perdagangan rempah yang utama berjaya menarik pedagang dari negara lain untuk menjalankan perniagaan di sini.
Ramai pedagang dari China dan India mengambil keputusan untuk menetap di Melaka bagi meneruskan perniagaan yang semakin berkembang. Kesultanan Melayu Melaka diteruskan sehingga pada tahun 1511 semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah yang akhirnya ditawan oleh Portugis. Apabila Sultan Mahmud Syah melarikan diri ke selatan dan mengasaskan kerajaan baru di Johor, maka berakhirlah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.